Sunday 11 November 2007

Selamat Berkenalan Gelombang Kuning

AKU PUAS!!

Melepasi tingkat 1 KL Sentral, seorang pegawai preman telah ku kesan kehadirannya. Degupan jantungku dari pukul 3 pagi tadi bertambah kencang. Apakah aku takut?Mungkin...

"Uiisshh..tak sabarnya nak pegi Genting" kata sepupuku kepada rakan sekerjanya. Di sambut dengan hilai ketawa aku dan rakan-rakan. Apakah kami takut?Mungkin juga...

Pergerakan kami terjejas kerana berlaku beberapa salah faham. Tetapi semuanya berjaya diselesaikan dengan baik. "Kita ke MASJID NEGARA!!"tambah sepupuku lagi.

Sampai di Masjid Negara, kami masuk ke sana melalui pintu masjid yang berhadapan dengan KTM. Trak dan pegawai polis berperisai yang banyak dan ramai tidak langsung menarik perhatianku tetapi aku jadi tak keruan dan mula 'berhalusinasi' kerana apa yang menakutkan dari awal pagi tadi kini berada di depan mataku.

Hanya lebih kurang 100 orang berada di pintu masuk...

Hampir aku menangis untuk kali pertama hari itu...

Ya Allah..Kau Selamatkan Mereka Ini.

Sepupuku menyuruh aku dan teman kami ke satu lagi pintu utama untuk bertemu dengan sahabat-sahabat kami yang lain. Aku menurut, dengan perasaan sedih masih membelenggu diriku. Bila kami tiba di tempat pintu utama itu, aku kembali menarik sedikit nafas lega. Lebih kurang 1 ribu manusia dapat ku lihat sedang berhimpun di halaman masjid menanti. Dan bila aku masuk kedalam masjid, dapat kulihat beberapa ribu lagi sedang bersembahyang dan berkumpul.

Ya Allah..Kau Maha Besar!!!

Masih aku teringat, disinilah ianya bermula hampir 10 tahun lalu. Aku masih bersekolah ketika itu. Ketika aku masih tidak berapa mengenali dunia realiti politik Malaysia. Orang tuaku yang membawaku kesini. Masih terngiang di telingaku, laungan-laungan semangat. Masih terbayang di mata ku, kebencian puluhan atau ratusan ribu manusia membanjiri Masjid Negara. Aku dan orang tuaku hanya dapat memerhati dari jauh. Seorang lelaki berkacamata, melaungkan dengan penuh semangat satu perkataan ajaib yang tidak pernah ku dengar dilaungkan sebelum ini dan disambut dengan gagah oleh ratusan ribu orang disitu.

REFORMASI!!!

Dan hari ini, aku di sini sekali lagi menanti saat keajaiban itu kembali.

Jam menunjukkan tepat pukul 2.40. Aku dan sepupu sedang menemubual Ust. Badrul Amin di dalam masjid kala aku terdengar bunyi riuh rendah di luar masjid. Panjang pula bicaranya. Aku dah rasa tidak sabar untuk keluar dan melihat apa yang terjadi. Betul-betul selepas perkataan terakhir keluar dari mulut ustaz, kami terus berlari keluar. Ku sangkakan pasukan FRU telah mula menendang terajang mereka yang berada di luar masjid. Kulihat ke bawah dari atas beranda dan ku lihat mereka bersorak dengan semangat "Allahuakbar".

Dapat kulihat dari 1 kilometer jauhnya, sekumpulan lagi manusia yang tidak dapat lagi kuanggarkan jumlahnya sedang berarak dengan penuh semangat. Aku rasa bagai nak jatuh. Lutut ku rasa lemah. Hampir ku menangis untuk kali kedua hari itu. Aku tidak menyangka aku akan masih hidup dan dapat melihat keajaiban itu hadir sekali lagi. Rasa hendak saja ku campak kamera di tangan ku dan turun menyertai mereka. Tapi aku bekerja hari ini dan kamera itu pun bukan milik aku.

Team kami terus mengikut jejak perarakan itu ke Istana Negara. Dihadapan istana, beribu-ribu orang dari beberapa buah kumpulan sudah mula bercantum menjadi satu kumpulan gergasi. Walaupun kali ini senarionya agak berbeza, begitu juga dengan jumlah kehadiran yang tidaklah dapat mencecah kehadiran 1998 tetapi saat ini masih akan ku kenang dan ku ingat sebagai salah satu saat keajaiban dalam hidupku. Barisan pimpinan berucap dengan semangat.Rakyat tidak langsung bergerak ke belakang walaupun tentera-tentera kerajaan berada di keliling mereka. Sungguh istimewa saat itu.

Aku berada ditengah-tengah antara FRU dengan FRU. Cuba mendapatkan maklumat terbaik untuk majikan aku. Sambil itu, aku mencari-cari lelaki berkacamata yang berucap pada 1998. Mana dia? Tidak kelihatan dari mula tadi. Mengeluh lagi aku hari ini. Merokok di tepi. Menunggu lagi. Bosan. Tiada aksi lagi.

Tiba-tiba, lelaki itu muncul dari belakang FRU. Hadirin bersorak seperti orang gila. Menjerit-jerit. Aku terus berlari ke lelaki itu sambil mengeluarkan handphone aku untuk merakamkan saat itu. Aku berhadapan dengannya. Dia memandangku sambil mengenyitkan matanya padaku. Tersenyum lebar aku. Dia terus berjalan bersama-sama barisan pimpinan ke arah himpunan sambil mengangkat tangannya dan disambut dengan puluhan ribu orang yang menjerit-jerit bagai nak gila.

Beliau digendong oleh orang ramai untuk berada di tengah-tengah lautan manusia yang membanjiri lebuhraya tersebut. Setelah diberikan pembesar suara, beliau terus memberikan sepatah dua kata sebelum beliau melaungkannya lagi. Kata ajaib.

REFORMASI!!

REFORMASI!!

REFORMASI!!

Dan disahut oleh sekalian hadirin dengan penuh semangat. Hampir menangis aku untuk kali ketiga.

Segalanya telah selesai. Semuanya selamat. Tiada kecederaan dan tiada kematian tetapi ada keganasan. Keganasan dari pihak polis di Masjid Jamek. Aku bangga dengan pasukan Masjid Jamek. Walau disembur dan ditembak dengan gas pemedih mata, mereka melawan dan berjaya juga menembusi pertahanan polis untuk ke destinasi mereka. Tahniah kepada semua dan anda semua akan menjadi inspirasi warga demonstrasi yang lain untuk terus melawan.

Kepenatan tetapi gembira dengan apa yang terjadi hari ini.

"Fuh..."

Terbaring di atas katil sambil ku menangis teresak-esak.

InsyaAllah, kira tiada aral melintang. Sebulan lagi kita berjumpa.

No comments: